fb fb fb fb fb

Dua beregu negara buru kejuaraan di final Terbuka Taiwan

(FOTO FB BAM)

KUALA LUMPUR, 24 Jun - Beregu lelaki dan beregu campuran negara memastikan Malaysia meneruskan cabaran di pentas final Terbuka Taiwan 2023 selepas masing-masing berjaya melepasi halangan separuh akhir di Arena Tian-Mu hari ini.

Pada aksi separuh akhir, juara bertahan Man Wei Chong-Tee Kai Wun bagaimanapun tidak melalui pertarungan mudah berdepan rakan senegara Ong Yew Sin- Teo Ee Yi yang juga pilihan pertama kejohanan.

Wei Chong-Kai Wun yang diletakkan selaku pilihan kelima, tewas pada set pertama 17-21, namun bangkit memenangi set kedua 21-19 sebelum menoktahkan kemenangan dengan 21-9.

Lawan beregu lelaki negara di pentas akhir adalah wakil tuan rumah sama ada Lin Chia Yu-Lin Yong Sheng  atau pilihan kedua Lu Ching Yao-Yang Po Han yang beraksi dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Bagi beregu campuran Cheng Tang Jie-Toh Ee Wi pula, mereka berada dalam landasan tepat memburu gelaran kedua Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) apabila mudah mengetepikan wakil tuan rumah Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin 21-14, 21-19.

Pasangan di ranking ke-19 dunia itu akan berdepan wakil tuan rumah Chiu Hsiang Chieh-Lin Xiao Min yang menewaskan rakan senegara Tseng Min Hao-Hsieh Pei Shan 21-10, 21-8.

Tang Jie-Ee Wei muncul juara Masters Orleans di Perancis pada April lepas, yang juga kejuaraan sulung Jelajah Dunia BWF mereka. -BERNAMA


(Tang Jie-Ee Wei / FB BAM)

 

Media Baharu