KUALA LUMPUR, 25 November - Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menggesa siasatan segera dijalankan berhubung insiden serangan terhadap wartawan sukan, Haresh Deol, yang dilaporkan berlaku petang tadi.
Datuk Fahmi berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu ketika menghadiri sebuah program di Kota Kinabalu sebelum segera menghubungi Haresh untuk mendapatkan maklumat lanjut.
"Haresh memaklumkan bahawa beliau baru selesai membuat laporan polis dan kini sedang menyelesaikan urusan laporan perubatan.
“Saya harap siasatan dapat dijalankan dengan segera. Keselamatan pengamal media, lebih-lebih lagi ketika mereka menjalankan tugas, sama sekali tidak boleh dikompromi,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Datuk Fahmi turut menegaskan keselamatan wartawan serta petugas media perlu sentiasa dijamin bagi memastikan mereka dapat menjalankan tugas tanpa sebarang ancaman atau gangguan.