fb fb fb fb fb

Wartawan sukan Haresh Deol diserang dua individu

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 25 November - Wartawan sukan dan Timbalan Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) Haresh Deol telah diserang oleh dua individu dalam satu insiden di Bangsar hari ini.

Haresh, yang juga pengasas bersama portal berita TwentyTwo13, memaklumkan melalui hantaran di laman X bahawa beliau diserang ketika menuju ke keretanya manakala seorang lagi individu merakam insiden tersebut menggunakan telefon bimbit.

Beliau berkata laporan polis telah dibuat susulan insiden itu.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Hoo Chang Hook ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek serta motif kejadian.

Dalam pada itu, Gerakan Media Merdeka (Geramm) dalam hantaran di Facebook mengecam serangan tersebut dan menyifatkannya sebagai tindakan yang membahayakan keselamatan wartawan ketika menjalankan tugas.

Menurut Geramm, serangan ke atas petugas media boleh menjejaskan hak masyarakat untuk menerima maklumat tepat tanpa sebarang tekanan.

Geramm turut menggesa polis mempercepat siasatan dan mengambil tindakan terhadap pelaku.

Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) turut mengecam insiden serangan ke atas Haresh yang berlaku petang tadi.

Presiden SAM Norismadi Abdul Manap berkata dalam kejadian pada kira-kira 3.30 petang itu, Haresh mengalami kecederaan ringan.

Beliau berkata motif serangan masih belum diketahui dan pihaknya memohon agar siasatan dijalankan segera bagi memastikan keselamatan pengamal media terjamin.

“Serangan ke atas mana-mana wartawan adalah tindakan ekstrem yang tidak boleh dibiarkan.

"SAM tidak mahu ahli-ahli kami bekerja dalam ketakutan dan trauma berikutan serangan seumpama ini,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Sebelum kejadian, Haresh berbincang dengan beberapa rakan dan beliau diserang ketika berseorangan.-BERNAMA

AZRUL FAIZAL JUSOH