KUALA LUMPUR, 3 Mei - Pelari muda Johor, Danish Iftikhar Muhammad Roslee, mencipta sensasi apabila merangkul pingat emas acara 100 meter lelaki selepas menewaskan tiga pelari kebangsaan di Kejohanan Olahraga Super Series.
Atlet berusia 18 tahun itu mencatat masa 10.57 saat, mengenepikan saingan sengit pelumba kebangsaan, Jonathan Nyepa yang membawa pulang perak dengan catatan 10.66 saat.
Wakil Pulau Pinang, Tan Zhi Hang, melengkapkan podium selepas meraih gangsa dengan masa 10.70 saat.
Dua lagi pelari negara, Khairul Hafiz Jantan menamatkan saingan di tempat keempat, manakala Muhammad Zulfiqar Ismail berpuas hati di tempat terakhir.
Sementara itu, Danish Iftikhar menyifatkan kejayaan ini memberinya keyakinan menjelang kejohanan seterusnya.
"Kejayaan ini bukan di luar jangkaan. Saya hanya melakukan yang terbaik kerana musim kejohanan baru sahaja bermula. Saya memberikan sepenuh usaha dan ini sememangnya catatan terbaik saya untuk musim ini", kata Danish Iftikhar.
"Setakat ini untuk permulaan musim, Alhamdulillah saya sangat berpuas hati. Namun, saya akan terus berusaha untuk melakukan yang lebih baik dan memberi lebih lagi selepas ini", tambahnya.
Bagi acara 100 meter kategori wanita, Zaidatul Husniah Zulkifli meraih pingat emas dengan catatan masa 11.72 saat.
"Sebenarnya saya tidak menetapkan sebarang sasaran kerana ini merupakan pertandingan pertama saya untuk musim ini. Saya hanya ingin melakukan yang terbaik untuk diri sendiri, memandangkan saya tahu keadaan diri saya sekarang", menurut Zaidatul selepas tamat saingan.
"Latihan saya kini hanya dilakukan sekali sehari, tidak seperti sebelum ini saya menjalani latihan dua sesi pagi dan petang. Oleh itu, saya perlu lebih bijak mengatur masa agar dapat mengekalkan prestasi dalam setiap pertandingan", katanya lagi.
Nur Aishah Rofina Aling membawa pulang pingat perak dengan catatan 11.80 saat, manakala Azreen Nabila Alias melengkapkan podium dengan gangsa selepas mencatat 11.83 saat.