KUALA LUMPUR, 3 Mei- Kuartet 4x100 meter lelaki negara meraih gangsa dalam saingan Olahraga Super Series di Stadium Merdeka selepas mencatat masa 40.55 saat.
Malaysia Athletics Team yang dibarisi Khairul Hafiz Jantan, Jonathan Nyepa, Pengiran Aidil Auf Hajam, dan Muhammad Zulfiqar Ismail menamatkan aksi di belakang pasukan Jerman B dan Jerman A.
Dalam perlumbaan itu, Khairul Hafiz memulakan saingan larian sebagai pelari pertama, diikuti Jonathan, Pengiran Aidil, sebelum Muhammad Zulfiqar melengkapkan larian untuk memastikan tempat ketiga milik Malaysia.
Khairul Hafiz yang juga bekas raja pecut Asia Tenggara menyifatkan penyertaan mereka dalam kejohanan sulung ini sebagai satu pengalaman baharu dan bertekad memperbaiki semua kelemahan pada saingan kompetitif seterusnya.
“Saya rasa tak ada masalah besar kerana ini pasukan relay pertama kita tahun ini, malah persiapan pun hanya sekitar dua hingga tiga minggu sebelum kejohanan,” kata Khairul Hafiz.
“Bagi saya, ini satu pengalaman baru buat kami, dan walaupun ada beberapa kekurangan semasa perlumbaan, kami akan cuba perbaiki. Kita ada masa bersama jurulatih untuk teliti semula larian dan perbaiki apa yang perlu.” tambahnya.
Kuartet Jerman A yang dibarisi Kevin Kranz, Owen Ansah, Yannick Wolf, dan Lucas Ansah-Peprah merangkul emas dengan catatan masa 38.26 saat.
Perak menjadi milik pasukan Jerman B menerusi gandingan Aleksandar Askovic, Julian Wagner, Heiko Gussmann, dan Chidiera Onuoha yang menamatkan saingan dengan masa 38.84 saat.
Dalam pada itu, bagi acara 4x100 meter wanita, skuad Malaysia Athletic Team berjaya membawa pulang pingat perak selepas mencatatkan masa 45.50 saat.
Mereka menamatkan perlumbaan di belakang pasukan Jerman B yang memenangi emas dengan masa 43.43 saat, manakala pasukan Kuala Selangor Team meraih gangsa dengan catatan 58.61 saat.