AMERIKA SYARIKAT, 23 Jun-Jurulatih Uruguay, Marcelo Bielsa percaya kejohanan Copa Amerika bakal menjadi medan terbaik buat pasukan bimbingannya mempamerkan kualiti sebenar menjelang pertemuan menentang Panama pada Ahad.
Jurulatih berasal Argentina itu yang mengambil alih pasukan pada tahun lalu berikutan peletakan jawatan Diego Alonso menyaksikan peningkatan besar prestasi pasukan tersebut selepas menewaskan dua gergasi Amerika Latin iaitu Argentina dan Brazil pada kelayakan Piala Dunia 2026 lalu selain menewaskan Mexico pada perlawanan persahabatan baru-baru ini.
"Ini adalah episod baharu bagi Uruguay.Kami mahu menunjukkan lebih apa yang mampu dicapai oleh pasukan", kata Bielsa pada sidang media pada Sabtu.
Pada kejohanan kali ini, Bielsa telah melakukan integrasi pemain iaitu menggabungkan pemain muda dan pemain sedia ada dalam skuad Uruguay.
"Skuad kali ini mempunyai pengalaman yang cukup dan kemasukan pemain muda adalah berdasarkan mereka yang benar-benar layak", tambah Bielsa.
Bielsa turut memanggil penyerang veteran, Luis Suarez, penjaring terbanyak Uruguay sepanjang masa dengan 68 gol pada 138 penampilan.
Pada sidang media berkenaan, Bielsa turut bercakap tentang persaraan Edinson Cavani daripada pentas antarabangsa.
"Keputusan berkenaan adalah keputusan peribadi yang dilakukan oleh idola bola sepak Uruguay.
"keputusan berkenaan perlu dihormati.Ia adalah keputusan yang dilakukannya tanpa sebarang paksaan.Kita harus menghormati keputusan berkenaan", kata Bielsa.
Dalam sidang media sama, Bielsa turut menegaskan pasukannya akan cuba memenangi perlawanan demi perlawanan.
"Pada tahap pertandingan seperti ini,melalui persiapan dan maklumat yang diketahui, semua pasukan sudah mengetahui kelemahan dan kekuatan lawan masing-masing.Kini, hanya tinggal bagaimana untuk merancang dan merangka strategi.
"Setiap pasukan berkembang dan melepasi peringkat kumpulan. Tiada pasukan yang lemah dan kami berbangga kerana dapat bertanding dengan pasukan terbaik", ujar Bielsa.
Pada kejohanan Copa Amerika kali ini, Uruguay diletakkan di dalam kumpulan C bersama Panama,Bolivia dan tuan rumah, Amerika Syarikat.-REUTERS