fb fb fb fb fb

Copa America: Jaringan lewat Panama, tundukkan AS 2-1

Foto Reuters

GEORGIA, 28 Jun- Panama melakar kemenangan 2-1 ke atas Amerika Syarikat (A.S.) pertemuan sengit Kumpulan C Copa America pada Khamis, dengan Jose Fajardo menjaringkan gol penentu pada minit ke-83.

Kemenangan dramatik itu berlaku selepas skuad AS terpaksa bermain dengan 10 pemain berikutan kad merah untuk pemain sayap, Tim Weah pada minit ke-18.

Bagaimanapun, jumlah tersebut disamakan apabila pemain Panama, Adalberto Carrasquilla dibuang padang kerana mencabar Christian Pulisic, pada minit ke-88.

Kemenangan itu melonjakkan Panama dengan kutipan tiga mata penuh manakala A.S dengan misi wajib menang menentang Uruguay pada Selasa untuk mara ke peringkat kalah mati.

Ia adalah malam yang sukar untuk tuan rumah, dengan penjaga gol, Matt Turner digantikan pada separuh masa permainan akibat kecederaan kaki selepas bertembung dengan pertahanan Panama, Cesar Blackman pada minit ke-12.

Weah dilayangkan kad merah selepas semakan video menunjukkan dia telah menolak Roderick Miller di belakang kepala, ketika suasana masih tegang dan panas.

Sejurus Weah dikeluarkan, Balogun menggembirakan penonton dengan rembatan padu dari jarak 17 ela untuk memberikan tuan rumah pendahuluan pada minit ke-22.

Namun, kegembiraan tersebut tidak kekal lama apabila Blackman menyamakan kedudukan empat minit kemudian.

Ethan Horvath menggantikan Turner yang cedera di gawang AS pada waktu rehat dan hampir berdepan penalti pada minit ke-64, tetapi panggilan terhadap pemain pertahanan A.S., Cameron Carter-Vickers dibatalkan oleh semakan video.

A.S. menyangka mereka telah mendahului pada minit kelima menerusi Weston McKennie, tetapi gol itu tidak dibenarkan kerana Tim Ream berada dalam keadaan ofsaid.

Peluang terbaik mereka pada separuh masa kedua hadir pada minit ke-81, apabila tandukan Ricardo Pepi berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Panama, Orlando Mosquera.

Panama kemudiannya merampas inisiatif itu, menjaringkan gol kemenangan apabila pemain gantian, Fajardo merembat hantaran lintang Abdiel Ayarza.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM