SYDNEY, 28 Jun- Kerajaan Australia pada Jumaat mengumumkan dana sebanyak A$283 juta dolar Australia sebagai pembiayaan tambahan untuk industri sukan negara tersebut dalam tempoh dua tahun akan datang, selain persediaan sebagai tuan rumah Sukan Olimpik buat kali ketiga di Brisbane pada tahun 2032.
"Wang tambahan itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Anthony Albanese di Canberra sekali gus menjadikan jumlah pembiayaan kerajaan dalam sukan sehingga A$489 juta bagi tempoh dua tahun akan datang," kata Suruhanjaya Sukan Australia (ASC).
Lebih daripada A$17 juta akan digunakan untuk membiayai Geran Sokongan Pelaburan Atlet Langsung (DAIS), berfungsi untuk membantu atlet menangani tekanan kos sara hidup semasa latihan.
“Kami telah berkali-kali menyatakan bahawa untuk kejayaan dalam sebarang kejohanan sukan di tempat sendiri, memerlukan persediaan terbaik daripada pasukan tuan rumah. Jadi, suntikan dana pada masa ini pada asasnya penting untuk keputusan itu."
"Peningkatan dalam pembiayaan DAIS untuk menampung lebih ramai atlet adalah penting untuk memberi mereka keyakinan bahawa mereka boleh memberi tumpuan untuk meletakkan sejumlah besar kerja yang diperlukan untuk mewakili Australia di pentas antarabangsa.
"Perdana Menteri sangat jelas berkaitan kesan daripada pelaksanaan sukan Olimpik untuk negara ini."
"Jadi, kami berterima kasih kepadanya atas komitmen untuk membantu industri sukan dan atlet kami. Pasukan kami akan membanggakan Australia di Olimpik Paris 2024 dan itulah hentian pertama untuk ke Olimpik LA 2028 dan kemudian Brisbane,” kata Presiden Jawatankuasa Olimpik Australia, Ian Chesterman.
Pengumuman itu dibuat susulan komitmen kerajaan baru-baru ini, yang mana sebanyak A$249.7 juta dolar Australia diluluskan untuk membiayai pengubahsuaian Institut Sukan Australia (AIS) di Canberra.
AIS pernah menjadi peneraju dunia dalam sains sukan dan latihan atlet, membantu Australia mengungguli carta dengan negara yang mempunyai saiz dan pembangunan yang sama bagi Sukan Olimpik serta pertandingan antarabangsa yang lain.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Australia atas komitmennya terhadap sukan dan menyediakan platform kepada atlet kami untuk menang dengan baik," kata Kieren Perkins, bekas juara Olimpik yang berkhidmat sebagai ketua eksekutif ASC dan AIS.- REUTERS