MILAN, 14 Julai- Kelab Seria A, AC Milan berjaya menandatangani pemain Amerika Syarikat, Christian Pulisic dari Chelsea.
Pulisic diikat selama empat tahun, dengan pilihan satu tahun tambahan lagi.
Butiran kewangan perpindahan Pulisic tidak didedahkan tetapi media Britain melaporkan bahawa kelab Itali itu telah membayar Chelsea €20 juta euro ($22.41 juta) serta tambahan untuk pemain berusia 24 tahun itu.
Pulisic telah menghabiskan empat musim di Chelsea, membuat 145 penampilan, menjaringkan 26 gol dan memberikan 21 bantuan (assists).
Dia membantu kelab London barat itu memenangi Liga Juara-Juara, Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab pada 2021.
Pulisic menyertai senarai panjang pemain yang telah meninggalkan Chelsea selepas mereka menduduki tempat ke-12 dalam Liga Perdana musim lalu, penamat terendah mereka dalam hampir tiga dekad.
Milan menduduki tempat keempat dalam Serie A penggal lalu untuk layak ke Liga Juara-Juara.
(Foto FB AC Milan)
"Beberapa musim terakhir bersama Chelsea adalah sukar.
"Atas sebab apa pun, saya tidak mendapat peluang yang saya inginkan di kelab saya sebelum ini tetapi kini saya mempunyai peluang besar untuk mencapai tahap tertinggi yang saya boleh," kata Pulisic pada sidang akhbar selepas diumumkan oleh Milan.
Pulisic akan menyarung jersi nombor 11, yang dipakai oleh Zlatan Ibrahimovic.
Dia mengakui bahawa itu merupakan tanggungjawab berat yang harus dipikulnya selepas persaraan bintang Sweden itu.
"Saya tidak cuba mengisi kasutnya, dia seorang legenda, tetapi ia adalah permulaan yang baru dan nombor yang saya suka," kata Pulisic.
Dia menjadi pemain kedua meninggalkan Chelsea ke Milan pada jendela perpindahan kali ini selepas pemain tengah Ruben Loftus-Cheek.
Pulisic ialah pembelian keempat musim tertutup pengurus Milan, Stefano Pioli selepas penjaga gol pelapis, Marco Sportiello dari Atalanta, penyerang remaja, Luka Romero dari Lazio dan Loftus-Cheek.- REUTERS