LONDON, 12 Ogos – Rayuan Crystal Palace terhadap keputusan UEFA yang menurunkan mereka daripada saingan Liga Europa ke Liga Konferensi Eropah (Conference League) telah ditolak oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada Isnin.
UEFA membuat keputusan itu selepas mendapati pada tarikh penilaian 1 Mac lalu, Eagle Football Group merupakan pemilik majoriti Olympique Lyonnais, manakala pengerusinya, John Textor, memiliki pegangan kawalan dalam Palace.
"Selepas meneliti bukti, panel mendapati John Textor, pengasas Eagle Football Holdings, memiliki saham dalam CPFC dan OL serta merupakan ahli lembaga pengarah dengan pengaruh besar terhadap kedua-dua kelab pada tarikh penilaian UEFA," kata CAS dalam satu kenyataan.
"Panel turut menolak hujah Crystal Place bahawa mereka menerima layanan tidak adil berbanding Nottingham Forest dan OL."
Nottingham Forest, yang menamatkan Liga Perdana musim lalu di tangga ketujuh, akan menggantikan Palace dalam saingan Liga Europa.
Palace, yang layak ke Liga Europa sebagai juara Piala FA, mengemukakan rayuan bulan lalu iaitu hanya beberapa hari sebelum pemilik bersama New York Jets, Robert Wood “Woody” Johnson, melengkapkan pembelian pegangan Eagle Football Holdings dalam Palace.
Textor turut melepaskan jawatan dalam lembaga pengarah Lyon dan digantikan oleh Michele Kang sebagai pengerusi dan presiden.
Lyon, yang menamatkan Ligue 1 di tangga keenam, dibenarkan kekal di Liga Europa kerana kedudukan mereka lebih tinggi berbanding Palace yang berada di tempat ke-12 Liga Perdana Inggeris.
“Olympique Lyonnais mengalu-alukan keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan hari ini yang mengesahkan penyertaan mereka di Liga Europa,” kata kelab Perancis itu dalam satu kenyataan.
Palace, yang baru memenangi Perisai Komuniti selepas menewaskan Liverpool menerusi penentuan penalti pada Ahad, kini dijadual beraksi di pusingan playoff kelayakan Liga Konferensi hujung bulan ini. - REUTERS