LONDON, 12 Ogos – Everton dilaporkan telah mencapai persetujuan untuk mendapatkan pemain tengah England, Jack Grealish, secara pinjaman selama semusim daripada Manchester City, menurut saluran televisyen Sky Sports pada Isnin.
Grealish, 29, menyertai City dari Aston Villa pada 2021 dengan yuran perpindahan 100 juta pound atau (AS$134.57 juta), kini kurang mendapat tempat dalam skuad dan memerlukan minit permainan menjelang Piala Dunia tahun depan.
Musim lalu, Grealish hanya membuat tujuh penampilan dalam kesebelasan utama pada saingan liga dan tidak tersenarai dalam skuad City ke Piala Dunia Kelab.
Beliau juga tidak dipanggil menyertai skuad England bagi Kejohanan Eropah 2024.
Bagaimanapun, tiada pengesahan rasmi daripada kedua-dua kelab setakat ini, manakala BBC memetik sumber yang menyatakan perjanjian itu belum dimuktamadkan walaupun rundingan sedang berjalan.
