fb fb fb fb fb

Bundesliga: Leverkusen dinobatkan sebagai juara

Pengurus pasukan Bayer Leverkusen, Xabi Alonso bersama para pemain meraikan kejayaan menjuarai Bundesliga buat kali pertama/ Foto Reuterss

LEVERKUSEN, 15 April - Bayer Leverkusen menjulang gelaran Bundesliga buat kali pertama dalam sejarah 120 tahun kelab berkenaan selepas menang 5-0 ke atas SV Werder Bremen di BayArena.

Skuad kendalian Xabi Alonso selesa 16 mata di hadapan dengan baki lima perlawanan sukar diatasi Bayern Munich di tempat kedua dan Stuttgart di tempat ketiga.

Tuan rumah berjaya memecah kebuntuan gol selepas 22 minit perlawanan selepas Jonas Hofmann dijatuhkan di dalam kotak oleh pemain Bremen, dengan pengadil memberikan sepakan penalti selepas pengesahan VAR.

Victor Boniface mengambil sepakan penalti berkenaan mudah menewaskan Michael Zetterer.

Boniface turut membantu gol kedua Leverkusen pada minit ke 68 selepas hantarannya menemui Xhaka yang melepaskan rembatan jarak jauh sekaligus menggembirakan penyokong tuan rumah.

Florian Wirtz, yang masuk pada separuh masa mengulangi percubaan Xhaka lapan minit kemudian dari tempat yang hampir sama di atas padang.

Wirtz menambah satu lagi ketika berbaki tujuh minit sebelum melakar hatrik pada minit ke-90, sekaligus melebarkan rekod tanpa kalah 43 perlawanan skuad Hitam Merah dalam semua pertandingan.

Dalam pada itu, sebahagian penyokong Bayer Leverkusen di stadium BayArena menyerbu padang sebelum tamat perlawanan menentang SV Werder Bremen.

Ketika perlawanan memasuki 10 minit terakhir, penyokong mula melompat turun dari tempat duduk untuk berdiri di belakang papan pengiklanan sebelah padang.

Apabila Florian Wirtz menjaringkan gol ke-4 pada minit ke-83, ratusan penyokong memasuki padang, sambil mengetuk papan dan menyebabkan kekecohan.

Wirtz dan rakan sepasukannya merayu kepada peminat untuk meninggalkan padang, bimbang perlawanan itu dibatalkan pada saat-saat akhir.

Apabila Wirtz melengkapkan hatriknya pada minit ke-90, lebih ramai penyokong menyerbu padang dan mula meraikannya.

Pengadil tidak menyambung baki masa perlawanan,sebaliknya meniup wisel penamat untuk menjadikan pencapaian bersejarah secara rasmi Leverkusen.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD