MUNICH, 14 September - Bintang England, Harry Kane meledak dua gol ketika Bayern Munich berpesta jaringan 5-0 ke atas musuh tradisi Hamburg dalam aksi Bundesliga, pada Sabtu.
Kane menjaringkan gol pada setiap babak sekali gus melonjakkan rekodnya kepada 93 gol dalam 101 penampilan bersama Bayern.
Manakala gol-gol lain dijaringkan Serge Gnabry, Luis Diaz dan pemain muda Aleksandar Pavlovic.
Kemenangan itu mengukuhkan kedudukan Bayern di puncak liga sebagai satu-satunya pasukan dengan tiga kemenangan daripada tiga perlawanan.
Bayern bakal membuka kempen Liga Juara-Juara di Allianz Arena menentang Chelsea pada Rabu, dengan Nicolas Jackson berpeluang untuk membalas dendam selepas pinjaman dari kelab London itu.
Dalam aksi lain, Serhou Guirassy meneruskan rentak cemerlang apabila menjaringkan gol buat kali kelapan berturut-turut dalam Bundesliga sekali gus membantu Borussia Dortmund menewaskan Heidenheim 2-0.
Gol Guirassy hadir pada minit ke-33 selepas tuan rumah beraksi dengan 10 pemain susulan layangan kad merah ke atas Budu Zivzivadze.
Dortmund menggandakan kelebihan menerusi Maximilian Beier pada masa kecederaan separuh masa pertama.
Guirassy kini telah menjaringkan 18 gol dalam 15 penampilan terakhir bersama Dortmund dalam semua kejohanan.
Dortmund, naib juara Liga Juara-Juara 2024, akan memulakan kempen menentang Juventus di Turin, Selasa ini.
Sementara itu, Freiburg menjaringkan tiga gol dalam 10 minit terakhir untuk menundukkan Stuttgart 3-1. Igor Matanovic muncul wira dengan dua gol termasuk jaringan masa kecederaan.
Stuttgart sebelum itu mendahului hasil penyudah bergaya Ermedin Demirovic pada minit ke-20. - AFP