fb fb fb fb fb

Bubur lambuk 'air tangan' pemain ragbi, program murni PRNT bersama masyarakat setempat

KUALA TERENGGANU, 16 April- Jarang sekali kita mendengar bubur lambuk disediakan oleh pemain ragbi.

Di Terengganu, pemain ragbi yang biasanya lasak di atas padang, kini bergotong-royong memasak bubur lambuk istimewa untuk masyarakat setempat.

Bergotong-royong menyediakan bubur lambuk dari awal pagi menjadi simbolik perpaduan bagi memupuk generasi muda dalam kalangan pemain ragbi ini agar lebih memahami erti hidup bermasyarakat.

Program dua hari anjuran Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT) bersama Persatuan Penduduk Taman Bukit Bayas Indah (PERINDAH) dilihat mampu menjadi contoh terbaik buat komuniti penggiat sukan di negeri ini.


(Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT) bersama Persatuan Penduduk Taman Bukit Bayas Indah (PERINDAH) bergotong-royong memasak bubur lambuk untuk masyarakat setempat)

Menariknya aktiviti sebegini juga menjadi pengalaman baharu terutama bagi pemain ragbi wanita Sukma Terengganu yang berasal dari Sarawak, Alita Grace anak Sigan bersama skuad pasukan dalam membantu menyiapkan bahan-bahan masakan bubur lambuk ini.

"Rasa unik dan satu program yang boleh mengeratkan persahabatan bersama team-team, rakan-rakan. Rasa sangat gembira dan teruja dapat turut serta," katanya.


(Alita Grace anak Sigan turut serta dalam gotong royong menyediakan bubur lambuk bersama penduduk PERINDAH)

Bagi Yang Dipertua PRNT, Amir Amri Muhammad, pihaknya amat menekankan program tanggungjawab sosial dalam kalangan semua penggiat sukan ragbi di Terengganu.

"Satu inisiatif yang memang kita adakan supaya pemain-pemain dan pihak pengurusan dapat bersama-sama di dalam merealisasikan ataupun menjelmakan, supaya semangat bukan sahaja di padang, tetapi dari segi rohani bagi membantu golongan-golongan ini," kata Amir.

Sebelum ini, pelbagai program kemasyarakatan telah dianjurkan oleh PRNT, antaranya membantu membersihkan kediaman penduduk terjejas banjir di Hulu Terengganu baru-baru ini.


(Yang Dipertua PRNT, Amir Amri Muhammad)

Media Baharu