fb fb fb fb fb

Boling: Beregu wanita sumbang emas pertama Malaysia di Bangkok

(Pasangan Nurul Anis Nabila Mohd Nizam dan Anis Hannani Romzi mengungguli acara beregu wanita
pada Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia ke-21 di Bangkok, Thailand, semalam/ FB MTBC)

KUALA LUMPUR, 8 Julai- Malaysia berjaya merangkul pingat emas pertama pada Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia ke-21 selepas pasangan Nurul Anis Nabila Mohd Nizam dan Anis Hannani Romzi mengungguli acara beregu wanita di Bangkok, Thailand.

Kejayaan itu hadir selepas gandingan negara mengumpul keseluruhan 2,544 mata untuk mengatasi pencabar terdekat dari Korea Selatan Choi Yurin-Park Sunwoo yang terpaksa berpuas hati membawa pulang perak dengan meraih keseluruhan 2,504 mata.

Pingat gangsa menjadi milik pasangan Singapura Arianne Tay-Colleen Pee yang mengutip keseluruhan 2, 488 mata bagi menafikan satu lagi pasangan Malaysia untuk berada di podium selepas Adelia Nur Irwan Syazalee-Nur Hazirah Ramli sekadar mengumpul keseluruhan 2,443 mata di tempat keempat.

Malaysia turut membawa pulang masing-masing satu perak dan gangsa dalam acara beregu lelaki menerusi gandingan Tsen Fan Yew-Muhammad Hariz Adlan Azman yang meraih keseluruhan 2,518 mata serta Muhammad Danial Abu Samah-Syabil Azam Syamsul Azam dengan 2,511 mata.


(FOTO FB MTBC)

Kekecewaan Korea Selatan dalam acara beregu wanita terubat menerusi saingan lelaki apabila pasangan Baek Seungwoo-Park Soowan memenangi emas selepas mengumpul keseluruhan 2,600 mata.

Emas dimenangi Nurul Anis dan Anis Hannani merupakan pingat kedua diraih skuad remaja negara pada kejohanan itu selepas Muhammad Hariz memenangi perak acara individu lelaki semalam.

Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia ke-21 berlangsung dari 4 hingga 12 Julai ini.- BERNAMA

Media Baharu