fb fb fb fb fb

Penang FC sasar tiga mata sulung di laman sendiri menentang TFC

Penang FC sasar tiga mata sulung di laman sendiri menentang Terengganu FC / Foto FB PFC

GEORGE TOWN, 9 Ogos – Skuad Harimau Kumbang, Penang FC bertekad untuk memungut tiga mata pertama musim ini apabila berdepan Terengganu FC (TFC) dalam aksi pembukaan Liga Super 2025/2026 di Stadium Bandaraya, di sini, esok.

Ketua jurulatih, Wan Rohaimi Wan Ismail berkata anak buahnya sudah bersedia sepenuhnya untuk mempamerkan aksi terbaik, sekali gus menamatkan penantian bermain di laman sendiri bagi perlawanan pertama musim ini, selepas tiga musim terdahulu bermula di gelanggang lawan.

“Alhamdulillah, saya boleh katakan Penang FC bersedia untuk mengutip tiga mata penuh. Sambutan daripada penyokong pasti hangat, dan lebih manis jika kami menutup aksi pembukaan dengan kemenangan,” katanya.

0908 SKN PENANG FC PERLAWANAN PERTAMA 2Ketua jurulatih Skuad Harimau Kumbang, Wan Rohaimi Wan Ismail / Foto FB PFC

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran jersi baharu Penang FC musim 2025/2026 di Kopa Arena USM yang turut dihadiri barisan pemain skuad Harimau Kumbang.

Jersi utama musim ini menampilkan rekaan moden camouflage pixel dengan gabungan warna biru muda, kuning dan putih, diinspirasikan oleh Pengerusi Penang FC, Daniel Gooi Zi Sen bagi memberi suntikan semangat dan keyakinan kepada pasukan.

Kapten pasukan, Stefano Brundo optimis dengan persiapan rapi yang telah dilakukan, termasuk siri perlawanan persahabatan yang banyak dimenangi.

“Kami mahu memulakan musim ini dengan semangat tinggi dan tiga mata di tempat sendiri. Matlamat kami adalah bermain dengan tekanan tinggi serta mengekalkan sokongan padu penyokong,” ujarnya.

Sementara itu, penyerang baharu, Kipré Tchétché menegaskan semangat berpasukan menjadi kunci kejayaan menentang pasukan sekuat TFC.

“Kami bukan berasaskan individu. Hampir keseluruhan skuad ini adalah baharu, jadi kami mahu menjadi lebih kuat dan memanfaatkan kelebihan bermain di tempat sendiri,” katanya.

Pemain tengah, Muhammad Amirul Hisyam Awang Kechik pula yakin kombinasi pemain import berkualiti bersama pemain tempatan berpengalaman mampu membawa Penang FC lebih jauh musim ini.

“Keserasian semakin baik kerana kami memulakan latihan awal dan mempunyai masa untuk memahami permainan antara satu sama lain,” jelasnya.

Perlawanan menentang TFC esok akan menjadi penampilan sulung Penang FC di gelanggang sendiri bagi musim baharu Liga Super.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN