LONDON, 9 Ogos – Pengurus Liverpool, Arne Slot, melihat perlawanan pembuka tirai musim baharu sebagai peluang keemasan untuk merangkul trofi pertama apabila juara Liga Perdana Inggeris itu berdepan Crystal Palace dalam aksi Perisai Komuniti di Stadium Wembley, esok.
Bagi menghadapi musim ini, pemilik 20 gelaran liga utama England itu telah berbelanja hampir £300 juta (AS$402 juta) bagi memperkukuh skuad.
Penyerang baharu, Florian Wirtz dan Hugo Ekitike serta pertahanan sayap Milos Kerkez dan Jeremie Frimpong dijangka membuat penampilan sulung.
“Kebiasaannya, anda perlu bermain banyak perlawanan sebelum berpeluang memenangi sesuatu,” kata Slot.
“Kali ini, kami memiliki peluang untuk melakukannya seawal musim bermula. Namun, kami akan menentang Crystal Palace yang sering menjadi lawan sukar. Mereka membuktikannya pada final Piala FA yang lalu, malah di separuh akhir juga, betapa susahnya mengatasi mereka dalam perlawanan penentuan.”
Bagi Crystal Palace, ini adalah penampilan sulung mereka dalam Perisai Komuniti selepas mencipta sejarah menjulang trofi utama pertama kelab dengan mengejutkan Manchester City 1-0 pada final Piala FA, Mei lalu. -AFP