MADRID, 19 Ogos- Jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez memohon agar diberi ruang dan masa untuk mencatat prestasi terbaik pasukannya.
Ia susulan skuad The Catalan hanya seri 0-0 di laman sendiri pada perlawanan Ahad lalu menerusi pertemuan dengan Rayo Vallecano.
Namun, Xavi optimis skuadnya itu bakal memberi saingan sengit dalam perebutan takhta juara La Liga musim ini dengan kemasukan pemain baharu yang disifatkan berprofil tinggi.
Robert Lewandowski, Raphinha dan Andreas Christensen membuat penampilan sulung mereka menentang Rayo selain Franck Kessie yang turut serta dalam pertemuan itu sebagai pemain gantian.
Pemain Perancis, Jules Kounde antara pemain yang dinantikan Barcelona bagi memperkuat jentera pertahanan sekali gus mencipta keserasian dan kombinasi terbaik pasukan.
Dalam pada itu, Xavi meminta para penyokong terus memberi kepercayaan kepadanya untuk mengangkat semula Barcelona ke persada liga.
“Saya faham kekecewaan, jangkaan sangat tinggi,” kata Xavi selepas perlawanan Rayo.
“Kami perlu menganalisis permainan, memperbaiki dan terus mempercayai gaya permainan.
“Rayo bertahan dengan baik. Ia lebih sukar untuk kami mencipta daripada biasa.
"Ia memalukan kerana kami mahu menunjukkan kepada peminat bahawa kami berada di landasan yang betul. Ia mengecewakan, tetapi kami meminta kesabaran dan orang ramai mempercayai pasukan ini," tambah Xavi.
(Xavi (baju hitam) bersama anak buahnya dalam perlawanan menentang
Rayo Vallecano, Ahad lalu/AFP)
Xavi membantu mengubah nasib gergasi Catalan itu musim lalu selepas berjaya menempatkan mereka di tempat kedua La Liga dibelakang Real Madrid dengan jurang 13 mata.
Barcelona bakal bertemu Real Sociedad untuk perlawanan seterusnya pada Isnin ini di Stadium Reale Arena (Estadio de Anoeta).