KONYA, TURKIYE, 19 Ogos- Atlet pemanah negara, Mohd Juwaidi Mazuki terus mempamerkan aksi cemerlang apabila mengungguli acara compound individu lelaki di temasya Sukan Perpaduan Islam 2021 di Konya, Turkiye.
Pada aksi final, Mohd Juwaidi meraih pingat emas selepas menewaskan wakil Iran, Mohammadsaleh Palizban 148-137.
Pingat gangsa dimenangi pemanah tuan rumah, Haney Emircan.
Semalam, Mohd Juwaidi yang bergandingan bersama Eugene Loh dan Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazalli menumpaskan trio Indonesia, Deki Adika Hastian, Hendika Pratama Putra dan Prima Wisnu Wardhana, 229-228, untuk meraih emas acara compound berpasukan lelaki.
"Untuk acara individu ini, saya menyasarkan untuk menamatkan saingan di podium saja namun rezeki saya dapat emas. Emas pertama daripada berpasukan dan itupun bagi saya, satu lagi tambahan bonus buat diri saya."
(Juwaidi meraih dua emas di Sukan Perpaduan Islam 2021 di Konya, Turkiye)
Untuk rekod, Juwaidi dinobatkan sebagai atlet terbaik Sukan SEA Vietnam 2021 bersama gimnas negara, Rachel Yeoh selepas meraih dua emas dalam acara compound individu dan berpasukan campuran.
Edisi kelima temasya Sukan Perpaduan Islam 2021 telah membuka tirai secara rasmi pada 9 Ogos lepas.