(Peserta Ironman Malaysia terpantas keseluruhan kategori wanita,
April Rice dari Kanada/BERNAMA)
LANGKAWI, 5 November- Berbasikal dalam banjir merupakan antara cabaran besar yang terpaksa dihadapi peserta Ironman Malaysia tahun ini namun ia langsung tidak mematahkan semangat mereka untuk menghabiskan perlumbaan.
Ini berikutan apabila beberapa laluan yang digunakan untuk disiplin berbasikal sejauh 180 kilometer (km) dinaiki air setinggi kira-kira paras betis akibat hujan lebat sejak 12 tengah hari tadi.
Andy Wibowo, 42, dari Indonesia, yang muncul peserta terpantas keseluruhan Ironman Malaysia bagi kategori lelaki dengan catatan masa sembilan jam 37 minit 58 saat (9:37:58) berkata hujan lebat yang menyebabkan paras air naik menyukarkan dirinya untuk mengayuh basikal dengan lebih pantas.
“Saya dapat menjimatkan masa semasa melakukan disiplin pertama iaitu berenang sejauh 3.8 km kerana itu adalah kekuatan saya manakala disiplin berbasikal adalah kekurangan saya… ia menjadi lebih sukar apabila terpaksa mengayuh dalam keadaan banjir.
“Tetapi saya mendapat momentum yang baik semula semasa melakukan disiplin terakhir iaitu larian sejauh 42.2 km dan itu membantu saya untuk menjadi peserta pertama menghabiskan cabaran Ironman Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menamatkan Ironman Malaysia di sini hari ini.
(Peserta Ironman Malaysia terpantas keseluruhan kategori lelaki, Andy Wibowo dari Indonesia/BERNAMA)
Andy, yang kali pertama menyertai Ironman Malaysia di Langkawi, berkata kemesraan dan sokongan rakan di Malaysia dan makanan kegemarannya nasi lemak sudah pasti menjadi pembakar semangat untuk beliau kembali ke negara ini untuk menyertai Ironman Malaysia 2023.
April Rice, 41, dari Kanada, yang merupakan peserta terpantas keseluruhan Ironman Malaysia bagi kategori wanita dengan catatan masa 10 jam 19 minit 18 saat (10:19:18) pula berkata meskipun banjir, cuaca hujan itu sedikit sebanyak membantu diri beliau menghabiskan cabaran dengan baik.
“Saya berasal dari Kanada tetapi saya menetap di Singapura, jadi saya sudah terbiasa dengan cuaca seperti ini namun saya berdepan dengan sedikit kesulitan semasa disiplin berbasikal kerana tujuh seksyen banjir dan air naik sehingga paras lutut saya. Saya lihat peserta lain berhenti dan berjalan namun jika saya mengikut jejak mereka, saya tahu saya akan kejang di bahagian kaki, jadi saya hanya berdoa,” katanya.
Peserta terpantas Malaysia bagi kategori lelaki, Shahrom Abdullah, 43, yang menamatkan cabaran dengan catatan masa 10 jam 40 minit 55 saat (10:40:55) berkata beliau terpaksa turun dan mengangkat basikal serta berjalan sejauh kira-kira 100 meter.
“Keadaan arus air deras jadi saya terpaksa angkat basikal… kalau kayuh juga, ia boleh menyebabkan beberapa bahagian pada basikal mengalami kerosakan. Walaupun berdepan dengan keadaan itu, ia akan menjadi kenangan terindah kepada saya serta peserta yang lain” katanya.- BERNAMA