(Skuad bola sepak wanita Jamaica)
MIAMI, 22 Oktober- Pemain pasukan bola sepak wanita Jamaica berkata mereka akan memboikot aksi kelayakan Piala Emas minggu depan, gara-gara layanan acah tak acuh oleh Persekutuan Bola Sepak Jamaica (JFF).
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa ahli skuad Reggae Girlz di media sosial, pasukan itu berkata persekutuan kebangsaan gagal membayar penuh pemain untuk prestasi mereka pada Piala Dunia Wanita FIFA.
"Dengan kekecewaan besar kami berkongsi bahawa pemain dari skuad Piala Dunia 2023 tidak akan mengambil bahagian dalam aksi antarabangsa Oktober akan datang untuk kelayakan Piala Emas Wanita yang pertama," kata kenyataan itu.
"Walaupun ini adalah salah satu keputusan paling sukar yang perlu kami buat, kami rasa perlu mengambil sikap drastik untuk menamatkan penganiayaan berterusan yang kami terima daripada Persekutuan Bola Sepak Jamaica."
Skuad itu juga mengadu mereka hanya mengetahui identiti jurulatih baharu mereka tiga hari sebelum mereka sepatutnya melaporkan diri ke kem, dan kemudian hanya melalui media sosial.
Pasukan itu juga berkata mereka tidak menerima bayaran bonus selepas mara ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia, serta bonus untuk kelayakan ke kejohanan itu.
“Kami masih belum menerima bayaran penuh dan betul untuk prestasi bersejarah kami di Piala Dunia dan banyak bonus tertunggak,” kata kenyataan itu.
"Kami telah menangani kekurangan komunikasi ini, organisasi yang lemah, pengurusan yang lemah dan pembayaran tertunda daripada JFF berkali-kali.
"Atas sebab-sebab ini kami mengambil pendirian dalam solidariti dengan harapan untuk menamatkan kitaran penganiayaan ini."
Pasukan Jamaica itu dijadualkan bertemu Panama pada 25 Oktober di Panama City sebelum perlawanan di tempat sendiri dengan Guatemala empat hari kemudian.-AFP
(FOTO HIASAN)