AMSTERDAM, 18 November – Belanda mengesahkan slot ke Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Lithuania 4-0 dalam aksi kelayakan di Amsterdam, pada Isnin.
Kemenangan itu memastikan skuad 'Oranje', naib juara tiga kali pada 1974, 1978 dan 2010 menamatkan saingan di tangga teratas Kumpulan G.
Poland pula, meskipun menang 3-2 ke atas Malta, terpaksa beraksi dalam pusingan play-off Mac depan untuk merebut tiket ke kejohanan yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada tahun depan.
Belanda memulakan aksi dengan kelebihan perbezaan gol besar (+13), yang secara teori membolehkan mereka layak walaupun tewas.
Namun anak buah Ronald Koeman memilih untuk menghiburkan 50,000 penyokong di Johan Cruyff Arena dengan permainan pantas yang langsung tidak mampu disekat Lithuania.
Gol pembukaan hadir minit ke-15 menerusi Tijani Reijnders hasil hantaran cantik Frenkie de Jong.
Walaupun Belanda mendominasi penuh babak pertama, kedudukan kekal 1-0 berikutan aksi cemerlang penjaga gol Lithuania, Edvinas Gertmonas.
Memasuki babak kedua, Gertmonas akhirnya tewas apabila Cody Gakpo menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-58.
Dua minit kemudian, Xavi Simons menambah jaringan kedua sebelum Donyell Malen menjadikan kedudukan 4-0 dua minit selepas itu.
Koeman kemudian melakukan lima pertukaran, termasuk memberikan Luciano Valente penampilan sulung bersama 'Oranje' pada 10 minit terakhir, disambut sorakan gemuruh penyokong tuan rumah. -AFP