fb fb fb fb fb

Deaflympics 2025: Hazrul Shah, Muhammad Zamir gagal ke final 100M

Pelari pecut negara, Hazrul Shah Hamri (paling kiri) terkandas di peringkat separuh akhir 100 meter lelaki Deaflympics 2025 di Jepun/ RTM

TOKYO, 18 November - Harapan dua pelari pecut negara, Hazrul Shah Hamri dan Muhammad Zamir Azman untuk ke final 100 meter (m) lelaki tidak kesampaian selepas terkandas di peringkat separuh akhir Deaflympics 2025 di Jepun.

Dalam cuaca sejuk 13°C di Stadium Olahraga Taman Olimpik Komazawa, Hazrul menamatkan saringan pertama di tempat kelapan dengan catatan 11.73 saat.

Wakil tuan rumah, Takuma Sasaki muncul juara saringan dengan 10.94s.

1811 SKN DEAFLYMPICS OLAHRAGA DAY 2 1Pelari pecut negara, Muhammad Zamir Azman (paling kiri) terkandas di peringkat separuh akhir 100 meter lelaki Deaflympics 2025 di Jepun/ RTM

Zamir pula sekadar di tempat kelapan dalam saringan ketiga setelah mencatat 11.47s, dikelilingi pelari elit dari Estonia, Jepun, Columbia dan Mexico. Saringan itu dimenangi pelari Estonia, Tanel Visnap dengan 10.70s.

Zamir mengakui cuaca sejuk menjejaskan prestasinya, khususnya kawalan pernafasan manakala Hazrul berkata suhu rendah menyebabkan sakit sendi yang menganggu teknik pecutan.

Namun kedua-duanya optimis untuk bangkit dalam acara 200m pada Jumaat, yang bakal menyaksikan saingan sengit daripada pelari Estonia, Jepun, Amerika Syarikat dan Korea Selatan.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN