fb fb fb fb fb

Belanda cipta sejarah mara ke pusingan akhir Piala Davis selepas 104 tahun

FOTO AFP

MÁLAGA, 23 November- Belanda mara ke pusingan akhir Piala Davis buat pertama kalinya selepas menewaskan Jerman, 2-0 dalam aksi separuh akhir awal pagi tadi.

Tallon Griekspoor mengesahkan kemenangan setelah menundukkan Jan-Lennard Struff 6-7 (4/7), 7-5, 6-4 dalam perlawanan perseorangan kedua, sekaligus menyingkirkan juara tiga kali itu.

Terdahulu, Botic van de Zandschulp membuka laluan kepada Belanda apabila mengalahkan Daniel Altmaier 6-4, 6-7 (12/14), 6-3 dalam perlawanan pembukaan yang sengit.

Belanda sebelum ini telah menyingkirkan Sepanyol pada perlawanan suku akhir untuk mara ke pusingan akhir pertamanya selepas 104 tahun menyertai kejohanan.

"Apa yang kami lakukan ini lebih unik berbanding pasukan seperti Itali yang memiliki pemain nombor satu dunia seperti Jannik Sinner," kata Ketua Pasukan Belanda, Paul Haarhuis yang pernah menjadi sebahagian daripada pasukan Belanda mara ke separuh akhir, 23 tahun lalu.

"kunci utamanya usaha berpasukan, kepercayaan kepada keupayaan sendiri. Menjadi sasaran kami untuk tidak tewas di suku akhir bagi kali ketiga berturut-turut, kami percaya kami mampu melakukannya," katanya.

Jerman, yang kali terakhir menang pada tahun 1993, berharap untuk mencapai final keenam mereka.

"Hari ini, Belanda memanfaatkan satu atau dua peluang mereka lebih baik daripada kami, mereka layak untuk menang," kata Ketua Pasukan Jerman, Michael Kohlmann.

Sementara itu, Juara bertahan Itali yang mempertaruhkan Jannik Sinner dijadual bertemu Australia dalam separuh akhir kedua pada Sabtu.-AFP

Trainee