SHAH ALAM, 22 November- Tiada maklum balas diterima daripada pihak polis mengenai insiden simbahan asid yang berlaku kepada pemain bola sepak Selangor FC, Muhammad Faisal Abdil Halim pada Mei lalu.
EXCO Pembangunan Sukan Selangor Najwan Halimi berkata sehingga kini status siasatan berhubung kes itu masih belum diketahui walaupun Speaker Negeri Selangor Lau Weng San sudah menghantar surat kepada pasukan keselamatan berkenaan.
Beliau berkata demikian apabila menjawab soalan tambahan Adun Sungai Ramal Shafie Ngah berhubung status siasatan terhadap pemain kebangsaan itu di Sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam.
Pada Julai, Dewan Negeri Selangor meluluskan usul tergempar mengecam perbuatan ekstrem dan keganasan terhadap atlet sukan itu selepas dipersetujui wakil rakyat kerajaan dan pembangkang selain ia dibahaskan lima orang Ahli Dewan Negeri.
Dalam kejadian 5 Mei lepas, Faisal Halim melecur tahap empat di beberapa bahagian badan selepas diserang dengan asid oleh individu tidak dikenali di Kota Damansara, Selangor.