KUALA LUMPUR, 23 November-Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini mengumumkan pelantikan Kenneth Jonassen sebagai ketua jurulatih perseorangan baharu badminton negara.
Bekas pemain Denmark berusia 50 tahun itu mempunyai rekod prestasi cemerlang, dan telah memainkan peranan penting dalam membentuk legasi badminton Denmark selama 13 tahun sebagai jurulatih.
Sebelum ini, beliau juga pernah berkhidmat sebagai ketua jurulatih untuk England.
Jonassen, bekas pemain nombor dua dunia, telah memenangi gelaran berprestij seperti Terbuka Jerman, Korea, Belanda dan Singapura ketika kariernya.
Menerusi kenyataan di Facebook, BAM memaklumkan Jonassen akan bekerjasama rapat dengan Rexy Mainaky untuk merangka pelan pembangunan jangka panjang untuk program perseorangan Malaysia.
Jonassen dijangka akan memulakan perkhidmatannya dengan BAM pada 4 Januari 2025 dengan kontrak selama empat tahun.
Dalam pada itu, bagi Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, pelantikan itu adalah tepat untuk meningkatkan lagi prestasi para pemain perseorangan negara.
"Ke depan ini sasaran yang dulu saya jadi pemain saya bagi sasar emas saya tidak gusar. Tetapi saya diberi sasaran oleh pengurusan untuk perseorangan.
"Kita harapkan dengan Kenneth, keputusan yang tepat ini bisa mengangkat tahap para pemain perseorangan kita ke hadapan", katanya di sini.
Tambah Rexy, Jonassen dilihat menunjukkan minat terhadap potensi yang dimiliki pemain muda, Justin Hoh ketika beraksi pada Piala Thomas 2024 di Chengdu, China, April lepas