fb fb fb fb fb

Reed lakar sejarah catat 59 pukulan di Terbuka Hong Kong

Pemain Amerika Syarikat, Patrick Reed / FOTO AFP

HONG KONG, 23 November- Pemain Amerika Syarikat, Patrick Reed mencatat skor yang jarang berlaku iaitu 59 di Terbuka Hong Kong pada Sabtu, melonjakkan juara Masters 2018 itu ke kedudukan pendahulu dengan tiga pukulan menjelang pusingan akhir.

Reed, pemenang Masters pada 2018, merekodkan 11 birdie dalam pusingan ketiga dengan 11 bawah par, menjadikan jumlah keseluruhan 18 bawah par dalam kejohanan Jelajah Asia yang berprestij itu.

Catatan bawah 60 sangat jarang berlaku dalam golf. Hanya ada beberapa kali di Jelajah PGA AS dan tidak pernah berlaku di Jelajah Asia sehingga awal tahun ini.

Namun, pencapaian Reed tidak diiktiraf secara rasmi kerana penggunaan 'preferred lies' dalam kejohanan berkenaan.

Skor yang dilakukan Reed di Fanling adalah yang terendah dalam sejarah Terbuka Hong Kong, kejohanan golf profesional tertua di Asia, mengatasi skor 60 yang dicatatkan oleh Ian Poulter pada 2010.

Reed memulakan pusingan dengan lima birdie berturut-turut dan mengakhiri pusingan dengan empat lagi birdie berturut-turut.

"Saya sebenarnya rasa skor ini boleh jadi lebih baik," tambahnya.

Pada bulan Mac, rakan sepasukan Reed ketika itu, John Catlin, mencatat 59 pukulan dalam International Series Macau, menjadi pusingan sub-60 pertama dalam sejarah Asian Tour.

Menjelang pusingan akhir di Hong Kong, Reed mendahului dengan tiga pukulan di hadapan Rashid Khan dari India dan Nitithorn Thippong dari Thailand, dalam usaha mengejar kemenangan pertama di Asian Tour.

Juara bertahan Ben Campbell dari New Zealand pula berada satu pukulan di belakang mereka dengan 14 di bawah par keseluruhan.

Terbuka Hong Kong tahun ini adalah edisi ke-63 kejohanan tersebut.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE