PARIS, 16 September - Bekas tonggak pertahanan Barcelona dan Perancis, Samuel Umtiti, yang memainkan peranan penting dalam kejayaan skuad Les Bleus menjuarai Piala Dunia 2018, mengumumkan persaraannya daripada bola sepak profesional pada usia 31 tahun.
Produk akademi Olympique Lyonnais itu menyertai Barcelona pada 2016 dan membuat 133 penampilan bersama kelab gergasi Sepanyol tersebut, selain membantu mereka memenangi dua gelaran LaLiga.
Namun, kariernya dihantui kecederaan kronik pada tulang rawan lutut, yang turut membataskan peluang bermain di peringkat tertinggi.
Umtiti kali terakhir beraksi bersama kelab Ligue 1, Lille.
“Selepas satu perjalanan karier yang penuh dengan turun naik, tiba masanya untuk saya mengucapkan selamat tinggal…
"Saya sudah berikan segalanya dengan penuh semangat dan saya tidak menyesal,” tulis Umtiti dalam satu hantaran di media sosial lewat Isnin.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua kelab, presiden, jurulatih dan rakan sepasukan yang pernah bekerjasama dengannya sepanjang karier.
Umtiti kekal dalam lipatan sejarah bola sepak Perancis apabila menjaringkan gol tunggal kemenangan ke atas Belgium dalam separuh akhir Piala Dunia 2018, sebelum diturunkan dalam kesebelasan utama pada perlawanan akhir yang menyaksikan Perancis menewaskan Croatia 4-2 untuk menjulang trofi buat kali kedua. - REUTERS
