SHAH ALAM, 19 Februari- Hasrat skuad wanita negara beraksi di pentas akhir tidak kesampaian, selepas tumpas kepada Korea Selatan 0-3 dalam aksi separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022.
Pasukan Malaysia yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan, gagal bermula dengan baik pada pertandingan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, apabila jaguh perseorangan wanita negara S.Kisona dikalahlah 16-21 oleh Sim Yujin dalam set pertama.
Meskipun mendahului enam mata iaitu pada kedudukan 10-6 pada set kedua, kesilapan demi kesilapan yang dilakukan Kisona membolehkan perseorangan Korea itu, yang juga pemain ranking ke-49 dunia, kembali menguasai permainan dan seterusnya memenangi set kedua 21-17 untuk menyumbang mata sulung kepada pasukannya.
Sementara itu, dalam saingan kedua,pasangan harapan negara Pearly Tan dan Valeree Siow juga gagal menyamakan kedudukan buat Malaysia.
Pasangan beregu berkenaan tidak dapat memenuhi ramalan apabila mudah ditundukkan 15-21, 14-21, dalam masa hanya 38 minit oleh Baek Ha Na-Seong Seung Yeon, justeru membolehkan Korea Selatan meraih mata kedua mereka
Perseorangan ketiga negara, Siti Nurshuhaini Azman kemudian berjaya menghidupkan api kebangkitan negara dengan memberi tentangan kepada Lee Se Yeon.
Setelah tewas 11-21 pada set pertama kepada Lee See Yeon, pemain berpotensi itu wajar dipuji apabila beliau menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk menguasai set kedua 21-15.
Bagaimanapun, Siti Nurshuhaini agak keletihan pada set penentuan yang menyaksikan See Yeon menundukkannya 21-13, sekali gus menamatkan kempen Malaysia membawa pasukan negara ke pusingan akhir untuk kali kedua sejak BATC dianjurkan pada 2016.
Namun seakan hilang fokus, Siti Nurshuhaini gagal mengulangi prestasi sama pada set penentuan sekaligus tewas 13-21.
Sementara itu, Malaysia mencapai sasaran untuk mara ke separuh akhir pada kejohanan kali ini selepas muncul juara Kumpulan Y dan seterusnya melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Uber di Bangkok, Thailand, Mei ini.
Pada perlawanan akhir yang dijadualkan pada 10 pagi Ahad, Korea Selatan akan bertembung Indonesia yang diberi laluan percuma ke final setelah lawan mereka, Jepun, menarik diri pada saat-saat akhir.