(Penyerang Barcelona, Ousmane Dembele (kiri) bersaing dengan pemain tengah
Celta Vigo, Fran Beltran pada aksi bola sepak La Liga/AFP)
MADRID, 11 Mei - Pierre-Emerick Aubameyang menjaringkan dua gol ketika Barcelona terus menguatkan cengkaman mereka di tangga kedua La Liga pada Selasa dengan kemenangan 3-1 di tempat sendiri menentang Celta Vigo.
Tetapi kemenangan Barca dibayangi kecederaan serius kepala pemain pertahanan Ronald Araujo pada minit ke-64 perlawanan.
Araujo telah diusung ke dalam ambulans dan terpaksa memakai pendakap leher.
Barcelona mengesahkan pemain berusia 23 tahun itu mengalami gegaran otak dan telah dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan lanjut.
(Pemain pertahanan Barcelona, Ronald Araujo, dibawa dengan ambulans selepas mengalami
kecederaan semasa perlawanan bola sepak La Liga antara Barcelona dan Celta Vigo/AFP)
Dua gol Aubameyang di separuh masa hadir selepas Memphis Depay membuka jaringan di Camp Nou.
Celta membalas satu gol menerusi Iago Aspas tetapi harapan untuk bangkit musnah apabila Jeison Murillo dibuang padang.
Barca berada tujuh mata di hadapan Sevilla dan lapan di hadapan Atletico Madrid, dengan Sevilla dan Atletico akan menentang antara satu sama lain di Wanda Metropolitano pada Ahad ini.
Real Madrid, yang telah pun dinobatkan sebagai juara, berada sembilan mata di hadapan pasukan Xavi Hernandez di tangga teratas liga, dengan kelebihan satu perlawanan. -AFP