KUALA LUMPUR, 11 Januari - Bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei kini berada di landasan terbaik memburu slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas berupaya melepasi pusingan pertama kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena.
Pemain profesional negara berusia 23 tahun itu melangkah ke pusingan kedua kejohanan selepas menewaskan pemain Taiwan, Sung Shuo Yun 21-18, 21-11, pada Rabu.
Bagaimanapun, Jin Wei bakal berdepan tugas berat pada aksi hari ini apabila dijadual menentang pilihan ketujuh Gregoria Mariska Tunjung dari Indonesia.
Ketika ini Juara dunia remaja wanita pada 2015 dan 2018 itu mempunyai peluang cerah untuk layak ke Paris 2024, menduduki tempat ke-28 dalam kelayakan Olimpik.
Jika Jin Wei meneruskan prestasi cemerlangnya di Axiata Arena, beliau akan memperoleh lebih banyak mata berharga untuk menaiki anak tangga dengan mengambil kira status Super 1000 Terbuka Malaysia.