fb fb fb fb fb

Badminton Terbuka Malaysia buka tirai 28 Jun ini

KUALA LUMPUR, 25 Mei- Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia yang kembali dianjurkan selepas dua tahun dibatalkan akibat pandemik COVID-19, bakal membuka tirainya dari 28 Jun hingga 3 Julai di Arena Axiata Bukit Jalil.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memaklumkan, pelbagai aktiviti menarik bakal disajikan kepada para penonton bagi memeriahkan kembali kejohanan tersebut.

Kejohanan Terbuka Malaysia merupakan salah satu daripada lima kejohanan siri super berprestij dalam kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dengan menawarkan hadiah keseluruhan AS$675,000 atau bersamaan RM2.96 juta.

(Foto fail /BERNAMA)

Menurut BAM, aktiviti tersebut adalah sebahagian daripada karnival Festival Malaysia yang menampilkan permainan interaktif seperti badminton udara, jualan makanan, selain persembahan kebudayaan dan artis tempatan dari jam 3 petang sehingga 10 malam.

Tambahnya, karnival Festival Malaysia itu memfokuskan kepada budaya Malaysia, pelancongan dan sukan bagi mempromosi Malaysia di mata dunia.

Tiket akan dijual dengan harga dari RM25 hingga RM500 dan boleh dibeli menerusi laman web www.myticket.asia bermula 26 Mei pada pukul 2 petang.

Media Baharu