KUANTAN, 15 Jun- Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi menjuarai acara 100 meter lelaki pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Darul Makmur, di sini malam ini.
Meskipun muncul juara dengan catatan masa, 10.43 saat pada kejohanan itu, namun keputusan berkenaan belum cukup kuat untuk melayakkan dirinya ke Sukan Olimpik Paris yang memerlukan beliau mencatat masa bawah 10 saat untuk mengisi tempat ke Paris.
Bagaimanapun Azeem tetap optimis untuk mencatatkan masa lebih baik pada terbuka Kazakhstan di Almaty pada 23-24 Jun depan serta memperbaiki kedudukan untuk berada dalam kelompok 56 terbaik dunia.
"Insya-Allah minggu depan peluang untuk memperbaiki masa saya. Siapa tahu saya berjaya menjadi atlet Malaysia pertama mencatatkan masa bawah 10 saat.
"Jadi doakan saya untuk Kazakstan pada minggu hadapan. Saya akan cuba yang terbaik, dan saya juga bergantung segalanya kepada Allah SWT," katanya kepada pemberita selepas menjuarai acara 100 meter pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Darul Makmur di sini.
Ketika ditanya mengenai sasaran masa, beliau tidak mahu meletakkan tekanan ke atas dirinya selain terus memberikan fokus untuk mempamerkan aksi terbaik dalam setiap kejohanan yang disertai.
Untuk rekod, Azeem kini memegang rekod 100 meter kebangsaan dengan catatan 10.09 saat dan catatan terbaik beliau musim ini adalah 10.24 saat ketika beraksi pada Kejohanan Olahraga Jemputan (LSU) di Los Angeles pada 27 April lalu.