MIAMI, 22 Jun- Kapten Toronto Maple Leafs, Auston Matthews dinamakan sebagai Pemain Paling Bernilai NHL (MVP) pada Selasa, dengan merangkul Trofi Hart yang berprestij selepas melalui musim penuh bergaya.
Matthews turut menjulang Anugerah Ted Lindsay sebagai pemain paling cemerlang dalam pengundian oleh Persatuan Pemain NHL.
Dua anugerah itu susulan aksi cemerlang Matthews yang menghasilkan 60 gol sekali gus menduduki kedudukan teratas carta penjaring terbanyak.
Matthews telah menjaringkan sekurang-kurangnya 34 gol dalam setiap enam musim dalam liga, dan merupakan penjaring terbanyak pada 2021 serta 2022.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Toronto Maple Leafs," kata Matthews selepas menerima anugerah MVP.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat, Leafs Nation, tiada apa yang dapat ditandingi selain seperti bermain di hadapan anda."
Matthews menewaskan saingan untuk menjulang Trofi Hart daripada Connor McDavid dari Edmonton dan penjaga gol New York Rangers, Igor Shesterkin.
Manakala lain-lain anugerah menyaksikan Cale Makar dari Colorado Avalanche merangkul Trofi Norris untuk pemain pertahanan terbaik.
Makar memainkan peranan penting dalam membantu Colorado mendahului Western Conference pada musim biasa dengan 28 gol.
Avalanche kini sedang bertarung dengan Tampa Bay Lightning dalam perlawanan akhir Piala Stanley dengan perlawanan keempat ditetapkan pada hari Rabu.
Moritz Seider dari Detroit Red Wings memenangi Trofi Calder untuk pemain baharu 'rookie' terbaik NHL tahun ini.
Pemain berusia 21 tahun itu mencatatkan 43 hantaran dan mengumpul 50 mata sepanjang musim.
Shesterkin pasukan Rangers pula memenangi Trofi Vezina untuk penjaga gol terbaik, menewaskan Jacob Markstrom dari Calgary Flames dan penjaga gol Nashville dari Finland, Juuse Saros.- AFP
(Auston Matthews pada majlis Anugerah NHL 2022 di Tampa, Florida)
FOTO AFP