SURABAYA, 30 Jun-Skuad judo negara menutup kempen judo temasya dwitahunan itu dengan kutipan tiga pingat emas tiga perak dan satu gangsa, menyaksikan kem judo negara menjadi pasukan kedua terbaik pada temasya sukan berprestij itu.
Ketua jurulatihnya, Othman Mohd Nizam berkata prestasi yang ditampilkan pada edisi ke-21 dengan melepasi sasaran dua emas itu adalah pencapaian terbaik yang dicapai skuad judo universiti negara sejak tahun 2012 di Laos.
Pada hari terakhir kempen sukan tempur itu semalam, Malaysia menutup tirai dengan menyambar pingat perak menerusi acara berpasukan campuran selepas menamatkan aksi round robin di kedudukan kedua.
Pada kempen AUG di Surabaya, kali ini, Malaysia meraih tiga pingat emas menerusi Afiq Danish Zapri dalam kategori bawah 90 kilogram, Amir Daniel Abdul Majeed menerusi acara bawah 81 kilogram dan Nur Farah Izzati Wallah dalam acara bawah 52 kilogram.
Pingat perak pula diraih Siti Roha Maszuraini dan Muhammad Fareez Mohameid masing-masing dalam acara atas 78 kilogram dan bawah 60 kilogram.
Pingat perak ketiga hadir menerusi acara berpasukan campuran manakala gangsa disumbangkan Tan Yi Ying dalam acara bawah 73 kilogram.
Setakat hari ke-4 saingan AUG, Malaysia berada di tangga ketiga carta pungutan pingat dengan 11 pingat emas, 14 pingat perak dan 19 gangsa di belakang Thailand di kedudukan kedua dan tuan rumah, Indonesia di tangga teratas.