KUALA LUMPUR, 3 November - Pada usia 43 tahun, atlet veteran Mohd Hisham Khaironi masih gagah dan sukar ditandingi selepas merangkul pingat emas acara merejam lembing Lelaki F12 (masalah penglihatan) pada temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) 2022, hari ini.
Pemenang pingat emas Sukan Para Asia 2010 itu yang mewakili Kedah, turut memecahkan rekod kejohanan dengan bergaya selepas mencatat rejaman sejauh 42.20 meter (m) pada aksi final di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.
Mohd Hisham yang merupakan bekas atlet elit para negara berkata selepas bertanding dalam 15 temasya Para Sukma sejak edisi 1992 di Terengganu, emas diraihnya itu adalah yang ketiga dimenangi menerusi acara merejam lembing.
"Saya sudah kumpul keseluruhan 20 lebih emas rasanya tetapi ini yang ketiga untuk merejam lembing. Sebelum ini saya pernah menang acara 100m, 200m, 400m dan lontar peluru," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat di sini.
Mohd Hisham berkata beliau belum mahu bersara dalam waktu terdekat kerana masih menyimpan hasrat mewakili Malaysia pada Sukan Para ASEAN 2023 di Kemboja dan Para Sukma 2024.
"Saya tak nampak lagi tanda untuk bersara, rasanya ada dua tahun lagi (bertanding) bagi diri saya, mungkin Para ASEAN tahun depan adalah penampilan terakhir saya di temasya itu," kata atlet kelahiran Bangi, Selangor itu.
(FOTO FAIL/BERNAMA)
Pada Sukan Para Asia 2010 di Guangzhou, China, Mohd Hisham merangkul emas menerusi acara 200m Lelaki T12 dan meraih perak 100m Lelaki T12, sementara gagal membawa pulang pingat pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan.
Mohd Hisham sebelum ini pernah beraksi menerusi tiket ‘wildcard’ di Sukan Paralimpik edisi Sydney, Australia 2000 dan Paralimpik Athens, Greece 2004.
Sementara itu, pingat perak acara itu dimenangi Badrul Hisam Musa dari Johor dengan catatan 39.52m dan gangsa menjadi milik atlet Sabah Hazmi Bistani dengan rejaman sejauh 31.64m. - BERNAMA