ISKANDAR PUTERI, 15 Oktober- Seramai 242 atlet serta 120 pegawai dan jurulatih Sukan Malaysia (Sukma) 2022 Johor menerima insentif kemenangan sukan berjumlah RM1.35 juta.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, insentif bagi menghargai dan tanda terima kasih kepada atlet-atlet Sukma Johor yang bertungkus lumus memastikan kemenangan, sekali gus mengharumkan nama negeri pada temasya berkenaan, September lalu.
Kontinjen Johor tampil cemerlang dengan pencapaian 77 pingat emas, 52 pingat perak dan 43 pingat gangsa sekali gus dinobat juara keseluruhan temasya yang berlangsung pada 16 hingga 24 September lalu.
Pemenang pingat emas menerima insentif RM5,000 dan RM2,000 bagi pingat perak sementara pemenang pingat gangsa menerima insentif RM1,500.
Manakala atlet yang berjaya memecah rekod kebangsaan menerima insentif bernilai RM1,000 sementara atlet terbaik lelaki dan wanita SUKMA menerima insentif RM5,000 setiap seorang.
Atlet Lelaki Terbaik Sukma 2022, Muhammad Fakhrullah Mohd Rumaize
Atlet sukan kanu Johor, Muhammad Fakhrullah Mohd Rumaize yang merangkul gelaran Atlet Lelaki Terbaik Sukma 2022, menjadi penerima insentif tertinggi berjumlah RM44,500 diikuti Farah Zulaika Tokiman dari sukan kanu juga menerima insentif berjumlah 40,500.
Atlet renang, Tan Rouxin yang turut merangkul gelaran Atlet Wanita Terbaik Sukma 2022 pula menerima insentif berjumlah RM33,000.