fb fb fb fb fb

Atlet karate pekak, Yilamaran terima insentif RM 8,000 dari Johor

JOHOR BAHRU, 4 Mei- Kerajaan Negeri Johor akan menghadiahkan RM8,000 kepada atlet karate pekak negara, V.Yilamaran atas kejayaannya mengharumkan nama negeri dan negara di persada dunia.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pemberian itu sebagai tanda penghargaan kepada Yilamaran yang merupakan anak kelahiran negeri tersebut.

“Setinggi-tinggi tahniah kepada atlet negara, Yilamaran a/l Vispalingam yang meraih pingat perak acara kumite bawah 84 kilogram pada kejohanan Karate Deaflympic di Brazil.

“Atlet kelahiran Johor itu menempa sejarah tersendiri apatah lagi ini pertama kali negara mengambil bahagian acara itu di peringkat dunia dan merangkul pingat untuk kontinjen Malaysia,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.

Tambahnya, kejayaan itu juga mampu menjadi pembakar semangat buat seluruh bangsa Johor untuk sentiasa berusaha meraih kejayaan dalam apa jua yang dilakukan.

Dalam acara itu, Yilamaran, 22 tahun, merangkul pingat perak selepas tumpas kepada Makhno Oleksanr dari Ukraine pada aksi final.




(Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan mengenai insentif yang diberikan kepada Yilamaran menerusi hantaran Facebooknya)

Media Baharu