KANGAR, 28 Jun- Atlet Muay Thai Perlis Athachai Saiprawat yakin mampu membawa pulang pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 yang akan bermula pada 16 hingga 24 September ini.
Pemenang pingat gangsa pada temasya Sukan SEA edisi Vietnam itu berkata, walaupun ini adalah kali pertama beraksi di Sukma, namun beliau yakin mampu meneruskan momentum kemenangan di Hanoi (Sukan SEA Vietnam) dan telah mula berlatih setiap hari.
"Saya akan menyertai kategori 67 kilogram pada Sukma kali ini, malah persiapan latihan juga sedang giat dilakukan setiap hari bersama bimbingan jurulatih Nattapong Chalernying dan bapa saya Kiang Saiprawat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Plak Penghargaan yang berlangsung di Gim Muay Thai Saiprawat, Kampung Teluk Epa di sini, petang semalam.
Turut hadir, Ahli Parlimen Kangar Noor Amin Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena Asrul Nizan Abd Jalil.
Athachai (kiri) muncul juara bagi kategori 63-67kg sempena Jelajah AKM Negeri Perlis di
Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra
Athachai, 20, yang juga merupakan penuntut di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam bidang Kejuruteraan Mekatronik berkata beliau menjangkakan akan berdepan beberapa pesaing hebat lain antaranya dari Kedah dan Kuala Lumpur.
Anak kedua dari enam beradik ini juga telah menyertai beberapa pertandingan sebelum ini antaranya Kejohanan Amatur Muay Thai Kebangsaan 2019 (naib johan) dan Kejohanan Muay Thai Piala Wilayah Persekutuan 2022 (johan) bagi kategori sama. -BERNAMA