fb fb fb fb fb

Marquez terus unggul, menang sprint di Mugello

Pelumba Ducati, Marc Marquez beraksi dalam perlumbaan sprint menjelang Grand Prix Itali di Litar Mugello / AFP

MUGELLO, 22 Jun- Pelumba Ducati, Marc Marquez terus mengekalkan dominasi dalam saingan sprint MotoGP musim ini apabila muncul juara Grand Prix Itali, meskipun berdepan permulaan kurang kemas dalam perlumbaan di Litar Mugello, malam tadi.

Bermula dari petak utama, Marquez berjaya menebus kesilapan awal dan menamatkan perlumbaan di hadapan adiknya, Alex Marquez serta rakan sepasukan, Francesco Bagnaia.

Kemenangan itu merupakan yang kelapan buat Marquez dalam sembilan pusingan sprint musim ini, sekali gus melebarkan jurang kedudukan selaku pendahulu kejuaraan kepada 35 mata mengatasi Alex. Manakala Bagnaia kini ketinggalan 98 mata di tempat ketiga.

Pelumba KTM, Maverick Vinales menamatkan saingan di tempat keempat manakala Fabio Di Giannantonio dari pasukan VR46 Racing melengkapkan kedudukan lima terbaik.

Sementara itu, sesi kelayakan Moto2 menyaksikan pelumba Brazil, Diogo Moreira meraih petak utama dengan catatan masa 1:49.745 saat. Dua pelumba Sepanyol, Albert Arenas dan Marcos Ramirez masing-masing melengkapkan barisan hadapan.

Dalam aksi kelayakan Moto3 pula, Alvaro Carpe dari Sepanyol muncul terpantas dengan masa 1:54.733, diikuti rakan sepasukan Jose Antonio Rueda di tempat kedua. Pelumba Britain, Scott Ogden melengkapkan kedudukan tiga teratas untuk petak utama.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE