KUALA LUMPUR, 22 Jun- New Zealand berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Negara-Negara FIH 2024-25 selepas menundukkan Pakistan 6-2 dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Skuad The Black Sticks bermula garang dengan jaringan awal Scott Cosslett pada minit ke-6 menerusi pukulan sudut penalti, sebelum Sam Hiha, Dylan Thomas dan Sean Findlay masing-masing menambah tiga gol lagi dalam tempoh 12 minit pertama perlawanan.
Scott Boyde menyumbang gol kelima pada minit ke-27, sebelum Pakistan akhirnya merapatkan jurang hasil jaringan padang Zikriya Hayat pada minit ke-36. Cosslett kemudian menambah gol kedua peribadinya pada minit ke-58, disusuli gol kedua Pakistan seminit selepas itu menerusi Sufyan Khan.
Jurulatih New Zealand, Greg Nicol memuji aksi agresif anak buahnya yang tidak memberi ruang mudah kepada Pakistan, selain menyifatkan kekuatan pasukan terletak pada kemampuan pemain belajar dengan pantas meskipun tanpa banyak aksi persahabatan.
Sementara itu, Perancis menamatkan kempen di tempat ketiga selepas menewaskan Korea Selatan 3-2 menerusi penentuan penalti, selepas kedudukan terikat 3-3 pada masa sebenar.
Tiga jaringan Perancis hadir menerusi Benjamin Marque, Xavier Esmenjaud dan Corentin Sellier, manakala Korea Selatan menyamakan kedudukan hasil dua gol pukulan sudut penalti Yang Jihun dan satu gol daripada Lim Dohyun. Dalam penentuan penalti, Lucas Montecot, Noe Jouin dan Victor Charlet menyempurnakan tugas untuk Perancis, manakala hanya dua pemain Korea berjaya menyumbang jaringan.