fb fb fb fb fb

Mbappe belum cergas, Real berdepan Pachuca tanpa penyerang utama

Eder Militao dan Kylian Mbappe menjalani sesi latihan bersama Real Madrid pada 15 Jun 2025 / REUTERS

CHARLOTTE, 22 Jun- Bintang sensasi Real Madrid, Kylian Mbappe masih belum pulih sepenuhnya daripada masalah gastroenteritis akut (radang perut dan usus) dan tidak akan bersama pasukan bagi aksi kedua Kumpulan H Piala Dunia Kelab menentang Pachuca.

Menurut ketua jurulatih, Xabi Alonso, pemain itu kini menjalani proses pemulihan di hotel pasukan di West Palm Beach selepas keluar dari hospital dua hari lalu.

“Keadaannya semakin baik. Selepas jalani ujian dan pemerhatian di hospital, dia dibenarkan keluar dan kini sedang pulih. Setiap hari kami makin yakin dia akan cergas untuk aksi terakhir bertemu Salzburg,” katanya dalam sidang media malam tadi.

Mbappe tidak menyertai sesi latihan berpasukan pada Sabtu selepas dibenarkan keluar hospital di kawasan Miami pada Khamis lalu.

Tanpa kelibat pemain utama itu, Real yang seri 1-1 dengan Al-Hilal dalam aksi pembukaan kini memberi tumpuan kepada pemain lain yang perlu bangkit menunjukkan prestasi, termasuk pemain baharu Trent Alexander-Arnold.

Alonso percaya bekas pemain Liverpool itu mampu memberi impak walaupun masih menyesuaikan diri dengan sistem permainan di Santiago Bernabeu.

“Dia bukan sekadar pertahanan biasa yang kekal di sisi padang. Dia tahu bagaimana untuk masuk ke dalam dan berhubung dengan pemain tengah. Yang penting sekarang ialah masa dan cara untuk libatkan diri dalam permainan dan dia sedang belajar,” jelas Alonso.

Turut diberi perhatian ialah Vinicius Jr. yang dijangka menggalas peranan lebih besar tanpa kehadiran Mbappe.

“Saya tak fikir Vini perlu ‘kembali’ kepada prestasi lamanya kerana dia masih bermain baik. Cuma kami mahu lihat dia tampil lebih dominan dan menjadi pemacu kemenangan,” jelas Alonso.

“Vinicius pemain yang berbeza, sukar dijangka dan ada sentuhan istimewa. Bila dia betul-betul ‘enjoy’ permainan, dia sangat membantu pasukan.”

Real kini menghuni tangga kedua Kumpulan H dengan dua mata di belakang Salzburg yang menang 2-1 ke atas Pachuca dalam aksi terdahulu.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE