SENDAYAN, 22 Jun - Seramai 200 atlet amatur termasuk 20 atlet profesional muaythai berentap pada kejohanan Clash Of Champions Negeri Sembilan International Challenge 2025 yang julung kali diadakan di sini.
Menurut Penaung Persatuan Muaythai Negeri Sembilan, Tunku Datuk Alauddin Tunku Naquiyudin, kejohanan bertaraf antarabangsa itu bukan sahaja menarik penyertaan atlet tempatan malah turut disertai atlet muaythai dari luar negara, sekali gus menjadi medan persiapan penting bagi skuad muaythai Negeri Sembilan menghadapi Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Katanya, kejohanan ini turut memberi peluang kepada atlet negeri berentap dengan pencabar luar negara, sekali gus memperkukuh ketahanan mental dan fizikal dalam suasana perlawanan yang lebih kompetitif.
"Saya berharap pertandingan antarabangsa ini dapat dianjurkan setiap tahun di Negeri Sembilan. Harapan saya juga agar sukan muaythai di negeri ini terus berkembang dan bangkit di bawah kepimpinan sedia ada. Kita turut berhasrat untuk menyertai temasya SUKMA yang berlangsung dua tahun sekali, dan dengan usaha berterusan, Negeri Sembilan mampu muncul sebagai juara."
Beliau berkata demikian pada kejohanan Clash Of Champions Negeri Sembilan International Challenge 2025, di sini, hari ini.
Tambahnya, penganjuran kejohanan seperti ini selari dengan hasrat menjadikan Negeri Sembilan sebagai hab pembangunan sukan muaythai peringkat kebangsaan dan antarabangsa, serta mampu melonjakkan nama negeri di pentas lebih tinggi.
Beliau berharap kejohanan tersebut akan terus diadakan pada masa hadapan.