fb fb fb fb fb

River Plate, Monterrey terikat tanpa jaringan dalam aksi tegang Kumpulan E

Kevin Castano dilayangkan kad kuning kedua oleh pengadil, Slavko Vincic, sekaligus menyaksikan River Plate menamatkan perlawanan dengan 10 pemain / REUTERS

PASADENA, 22 Jun- Aksi tegang Kumpulan E Piala Dunia Kelab FIFA di Stadium Rose Bowl menyaksikan River Plate dan Monterrey terikat 0-0 dalam perlawanan yang penuh emosi dan peluang terhidang, namun gagal dimanfaatkan kedua-dua pasukan.

Monterrey yang sebelum ini seri menentang Inter Milan, tampil lebih bertahan dan banyak bergantung kepada kecekapan penjaga gol, Esteban Andrada, yang menjadi wira dengan beberapa aksi penyelamatan penting di separuh masa kedua – termasuk menafikan percubaan berbahaya Franco Mastantuono dan Miguel Borja.

River Plate pula gagal mengambil kesempatan beraksi dengan dominasi bola yang lebih tinggi, selain terpaksa menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas Kevin Castano dibuang padang pada masa kecederaan akibat mengutip kad kuning kedua.

Perlawanan bermula rancak dengan pemain pertahanan River Plate, Paulo Diaz, nyaris membuka jaringan menerusi tandukan awal, namun tersasar.

Monterrey memberi respon melalui gerakan Sergio Canales yang meluru dari tengah padang sebelum ditampan penjaga gol Franco Armani, diikuti rembatan Gerardo Arteaga yang tersasar.

Menjelang akhir babak pertama, tekanan demi tekanan dilancarkan oleh wakil Argentina. Mastantuono memainkan peranan penting dengan mencipta peluang buat Giuliano Galoppo, namun rembatan pemain itu disekat keluar oleh pertahanan.

Lucas Martinez Quarta hampir meletakkan River Plate di hadapan menerusi voli yang melintasi mulut gawang, sebelum satu lagi cubaan Mastantuono terkena pemain lawan dan keluar.

Memasuki separuh masa kedua, River Plate terus menggandakan asakan. Arteaga bertindak cemerlang mengeluarkan bola dari garisan ketika Galoppo hampir mencetak gol. Andrada kemudiannya menyelamatkan satu lagi percubaan Mastantuono, sebelum menafikan peluang Borja yang berdepan satu lawan satu, 14 minit sebelum tamat perlawanan.

Kekasaran Castano terhadap Nelson Deossa pada penghujung perlawanan membawa padah apabila beliau dilayangkan kad merah – memaksa River Plate menghabiskan baki masa dengan kekurangan seorang pemain.

Keputusan seri itu menyaksikan River Plate berkongsi empat mata dengan Inter Milan, sementara Monterrey di kedudukan ketiga dengan dua mata. Wakil Jepun, Urawa Red Diamonds, tersingkir selepas dua kekalahan berturut-turut.

Dalam aksi terakhir Kumpulan E, River Plate akan menentang Inter Milan di Seattle, manakala Monterrey akan menamatkan saingan menentang Urawa di Rose Bowl.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE