ALGIERS, 22 Jun- Seorang penonton disahkan maut manakala beberapa lagi cedera selepas terjatuh dari tempat duduk tingkat atas di Stadium 5 Julai.
Kejadian berlaku selepas pasukan MC Alger menjuarai liga utama Algeria buat musim kedua berturut-turut, lapor media tempatan pada Sabtu.
Kelab MC Alger dalam satu kenyataan memaklumkan, penyokong mereka, Younes Amguzzi, meninggal dunia akibat insiden tersebut.
“Dengan rasa dukacita dan kesedihan yang mendalam, kami menerima berita pemergian penyokong kami, Younes Amguzzi, yang terjatuh dari tempat duduk atas,” kata kelab itu menerusi hantaran di Instagram rasmi.
Presiden Algeria, Abdelmadjid Tebboune turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan kesembuhan segera buat mereka yang cedera.
Media tempatan melaporkan, kejadian dipercayai berlaku selepas pagar penghadang di bahagian atas stadium runtuh. Rakaman video yang dimuat naik El Heddaf TV di Facebook menunjukkan sebahagian palang besi jatuh ke tingkat bawah stadium.
Kesemua mangsa cedera telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.
Difahamkan, pemain, kakitangan dan pengurusan MC Alger turut hadir ke hospital untuk menderma darah. Majlis penyampaian trofi turut ditangguhkan susulan insiden berkenaan.