NEW JERSEY, 22 Jun- Fluminense mengukuhkan kedudukan dalam saingan Kumpulan F Piala Dunia Kelab FIFA selepas bangkit menewaskan Ulsan HD 4-2 dalam aksi penuh dramatik yang berlangsung di East Rutherford, awal pagi tadi waktu Malaysia.
Wakil Brazil itu membuka jaringan menerusi John Arias pada minit ke-27 melalui sepakan percuma deras dari jarak 25 ela yang menewaskan penjaga gol Ulsan, Jo Hyeon-Woo.
Namun kelebihan itu tidak kekal lama apabila Ulsan bangkit dengan dua gol sebelum rehat. Gol penyamaan hadir pada minit ke-37 hasil serangan balas pantas yang dimulakan Darijan Bojanic, sebelum Um Won-Sang melorongkan hantaran lintang rendah kepada Jinhyun Lee yang tenang menyudahkannya dari sudut sukar.
Gandingan sama kembali mencuri tumpuan pada masa kecederaan babak pertama, kali ini Lee pula berperanan sebagai pengumpan untuk tandukan Um Won-Sang yang melepasi jangkauan penjaga gol Fabio untuk menjadikan kedudukan 2-1 memihak Ulsan.
Fluminense tidak mengalah dan kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-66 menerusi Nonato. Gerakan dari kiri yang dimulakan Keno hanya dapat ditepis separuh oleh pertahanan Ulsan, sebelum bola muntah disambar Nonato dengan rembatan leret ke tiang kanan.
Jaringan kemenangan hadir pada minit ke-83 apabila Juan Freytes yang menjaringkan gol sulungnya bersama kelab memanfaatkan kekalutan dalam kotak penalti Ulsan selepas sepakan sudut. Bola lorongan German Cano disudahkan Freytes dengan tenang ke penjuru gawang.
Kemenangan dimuktamadkan pada masa tambahan menerusi tandukan Keno yang menyambut hantaran silang John Arias, ketika barisan pertahanan Ulsan kelihatan keletihan dan hilang tumpuan.
Kejayaan itu menyaksikan Fluminense kini mengumpul empat mata, berkongsi kedudukan teratas bersama Borussia Dortmund menjelang aksi penentuan kumpulan menentang Mamelodi Sundowns pada Rabu.
Ulsan HD pula sah tersingkir selepas mencatat dua kekalahan berturut-turut dengan baki satu perlawanan.-REUTERS