fb fb fb fb fb

Casper Ruud tarik diri daripada Wimbledon akibat kecederaan lutut

Pemain tenis Norway, Casper Ruud / REUTERS

OSLO, 22 Jun- Pemain tenis Norway, Casper Ruud sah menarik diri daripada kejohanan Wimbledon susulan masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut yang dialaminya sejak beberapa minggu lalu.

Perkara itu disahkan oleh pihak pengurusannya kepada media tempatan, dengan menyatakan Ruud masih dalam fasa pemulihan dan belum bersedia untuk aksi lima set dalam kejohanan Grand Slam berprestij itu yang dijadual bermula 30 Jun ini.

“Dia sudah kembali ke gelanggang dan perkembangan setakat ini positif. Tapi untuk beraksi dalam format lima set nampaknya masih terlalu awal. Jadi, kejohanan seterusnya buat Casper adalah di Gstaad,” jelas pengurusnya, Tina Falster kepada agensi berita NTB.

Pemain nombor 16 dunia itu yang dua kali mara ke final Terbuka Perancis, kali terakhir beraksi dalam saingan ATP ketika tewas mengejut di pusingan kedua Roland Garros bulan lalu kepada pemain bukan pilihan dari Portugal, Nuno Borges.

Susulan kekalahan itu, Ruud mendedahkan beliau telah lama berdepan kecederaan lutut dan sejak itu tidak lagi menyertai sebarang kejohanan, termasuk menarik diri daripada kejohanan gelanggang rumput di Mallorca.

Setakat ini, pencapaian terbaik Ruud di Wimbledon ialah mara ke pusingan kedua sebanyak tiga kali dan tumpuan kini terarah kepada usaha beliau untuk membuat penampilan semula di Terbuka Swiss yang diadakan di Gstaad yang dijadual bermula 14 Julai depan.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE