HALLE, 22 Jun- Daniil Medvedev menamatkan kemarau 15 bulan tanpa aksi akhir kejohanan ATP apabila menewaskan pemain nombor tiga dunia, Alexander Zverev dari Jerman dalam pertarungan tiga set di separuh akhir Terbuka Halle, malam tadi.
Pemain dari Rusia itu mencatat kemenangan 7-6(3), 6(1)-7, 6-4 dalam perlawanan sengit yang berlangsung hampir tiga jam, sekali gus melangkah ke final pertamanya sejak Februari tahun lalu.
Medvedev, bekas pemain nombor satu dunia, berpeluang menamatkan aksi lebih awal namun melepaskan tiga mata kemenangan pada set kedua sebelum bangkit mempamerkan ketenangan di set penentuan.
“Saya gembira dengan tahap permainan saya hari ini. Saya beraksi dengan baik. Memang saya mahu tamatkan di mata kemenangan, tapi Zverev tampil cemerlang ketika itu. Apa pun, saya tetap puas dengan kemenangan ini,” katanya selepas perlawanan.
Medvedev kini memiliki rekod 13-7 dalam pertemuan dengan Zverev dan akan memburu gelaran ATP ke-21 apabila menentang juara bertahan dari Kazakhstan, Alexander Bublik di pentas akhir pada Ahad.
Aksi separuh akhir menyaksikan Medvedev terpaksa mendapatkan rawatan akibat hidung berdarah ketika kedudukan 4-4 dalam set pertama, namun berjaya merangkul set pembukaan selepas lawannya melakukan beberapa kesilapan mudah dalam tiebreak.
Zverev bangkit di set kedua, mengheret Medvedev ke tiebreak dan menang dengan permainan lebih kemas.
Namun, Medvedev mempamerkan karakter sebenar dalam set ketiga dengan menguasai permainan untuk menoktahkan kemenangan.
Kejayaan mara ke pentas akhir juga menyaksikan Medvedev akan kembali menghuni kelompok 10 terbaik dunia dalam kemas kini ranking Isnin ini.
Sementara itu, Alexander Bublik pula meneruskan misi mempertahankan kejuaraan selepas menewaskan Karen Khachanov 4-6, 7-6(5), 6-4.
Selepas berdepan kemerosotan prestasi sebelum ini, Bublik kembali menyerlah termasuk mara ke suku akhir Grand Slam pertama dalam kariernya di Roland Garros serta menyingkirkan pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner di pusingan kedua Halle.-REUTERS