KUALA LUMPUR, 29 April- Keputusan mengenai penyertaan kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Para ASEAN (APG) ke-11 di Solo (Surakarta), Indonesia akan diketahui selepas sambutan Aidilfitri, bulan depan.
Perkembangan itu dimaklumkan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin selepas mengadakan perbincangan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) baru-baru ini.
Menurutnya walau apa jua keputusan yang akan diumumkan nanti, barisan atlet kebangsaan telah bersedia sepenuhnya untuk menggalas cabaran negara pada temasya sukan dwitahunan itu yang dijadual berlangsung pada 23 hingga 30 Julai ini.
"Saya akan mengumumkan bersama msn pada tarikh tersebut, di situ kita akan beri maklum balas.
Untuk makluman kontinjen negara memang sedia dalam podium, kita ada Sukan Komanwel dan kejohanan-kejohanan lain, jadi dari segi persediaan semua dah sedia, tiada masalah dan kesemua atlet memang telah bersedia," katanya selepas majlis berbuka puasa anjurannya, di sini.
(Datuk Seri Megat D Shariman pada majlis berbuka puasa yang diadakan di Ibu Negara)
Tambah beliau, APG akan menjadi pentas persediaan terbaik kepada atlet sebelum bertanding di Sukan Komanwel Birmingham yang dijadual berlangsung hujung Julai dan Sukan Para Asia Hangzhou pada Oktober.