ROM, 6 Jun- Bekas ketua jurulatih Tottenham Hotspur, Antonio Conte sah dilantik sebagai pengurus baharu Napoli.
Conte diberi tanggungjawab selepas kelab itu mengharungi musim lepas yang sangat teruk.
Conte turut bersemangat menghadapi musim baharu dengan cemerlang selepas berehat setahun selepas pemergiannya dari Spurs.
Menurut media Itali, Conte telah menandatangani perjanjian untuk kontrak tiga tahun bernilai €8 juta euro ($8.7 juta) bagi setiap musim.
"Saya boleh menjanjikan satu perkara kepada anda. Saya akan melakukan yang terbaik untuk mengembangkan pasukan ini dan kelab ini," kata Conte.
Sementara itu, Presiden Napoli, Aurelio De Laurentiis yakin kemampuan Conte membimbing kelab dengan penuh kejayaan sekali gus bakal membuka lembaran penting dalam sejarah Napoli.
"Selamat datang Antonio," kata presiden dan pemilik kelab Aurelio De Laurentiis menulis di X, sebelum ini Twitter, disertai dengan gambar Conte menandatangani kontraknya.
Napoli mengharungi kempen bergelora 2023-24, melalui tiga pengurus selepas jurulatih Luciano Spalletti pergi dan kemudian mengambil tugas Itali.
Bekas pemain berusia 54 tahun itu telah memenangi empat kejuaraan Serie A, tiga dengan Juve dan satu dengan Inter pada 2021, dan juga pemenang Liga Perdana bersama Chelsea pada 2017.
Conte hampir pasti terpaksa beraksi tanpa bintang Victor Osimhen, yang menjadi sasaran beberapa kelab terbesar Eropah.
Bagaimanapun penyerang utama Napoli yang lain, Khvicha Kvaratskhelia berada di bawah kontrak sehingga 2027 dan Conte telah menuntut agar pemain sayap Georgia itu tidak dijual walaupun Paris Saint-Germain (PSG) berminat untuk mendapatkan khidmat pemain itu. - AFP